Tuesday 8 November 2016

Dakwah, Isu dan Cabaran Guru Pendidikan Islam

Definisi Dakwah

Bahasa - mengajak, menyeru, memanggil.

Istilah - menyeru manusia kepada jalan Allah Taala dengan mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemunkaran dengan cara berhikmah dan bijaksana.

Muhammad al-Ghazali mendefinisikan dakwah sebagai suatu program yang lengkap, yang meliputi semua peringkat, mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tugasan dan matlamat hidup.

Dr. Yusuf al-Qardawi menjelaskan dakwah sebagai suatu usaha yang membawa orang lain kepada Islam seperti mengikuti perintah agama, melaksanakan ketetapan di muka bumi, mengkhususkan segala bentuk perhambaan diri, taat kepada Allah sahaja, melepaskan diri dari segala kongkongan yang bukan daripada Allah.

Kesimpulannya dakwah bermaksud sesuatu proses membawa, mengajak, menyeru orang lain, masyarakat dan murid-murid kepada Islam, mengamalkan ajarannya, meninggalkan apa yang dilarang dan menumpukan perhambaan diri kepada Allah Taala sahaja.

Dalil Berkaitan Dakwah ;

“Dan hendaklah kamu menjadi umat yang menyeru kepada kebajikan, menyeru kepada yang makruf dan mencegah perkara yang mungkar. Mereka inilah orang yang beruntung” Surah Aali-Imran ; Ayat 104

“Sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul kepada tiap-tiap umat (untuk menyerukan) sembahlah Allah sahaja dan jauhilah thaguut. Maka di antara umat itu, ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya”
surah an-Nahl; 36

Antara tugas seorang da’ie ialah :

1. Menyeru masyarakat kepada Islam dengan mengamalkan syariahnya.

2. Membetulkan akidah masyarakat kepada akidah yang benar.

3. Memberi penerangan dan bimbingan tentang ibadah dalam Islam.

4. Membentuk dan mendidik akhlak yang mulia dalam kalangan murid.

5. Menjadikan diri sebagai contoh tauladan dan ikutan.

6. Menanamkan nilai-nilai agama dan rasa patuh kepada Allah dan RasulNya.

Rukun Dakwah

1) Da’ie (Pendakwah)

2) Mad’u (Sasaran Dakwah)

3) Maudhu’ (Kandungan)

4) Qawaid (Kaedah)

5) Uslub (Pendekatan)

Antara ciri-ciri Daei

1) Memiliki akidah yang teguh lagi sahih.

2) Mempunyai akhlak yang terpuji.

3) Istiqamah dalam amalan.

4) Mampu dijadikan sebagai qudwah hasanah (contoh ikutan).

5) Berpengetahuan luas tentang ilmu agama dan semasa.

6) Berkemahiran dalam uslub dakwah.

  • Mad’u bermaksud sasaran dakwah atau orang yang didakwah dan diajak ke arah kebaikan seperti murid, rakan, ahli masyarakat dan sebagainya. Golongan ini perlu kepada bimbingan dan didikan untuk menjadi insan yang soleh. 
  • Maudhu’ atau mad’u bihi bermaksud isi kandungan dakwah. Ia adalah bahan yang cuba disampaikan oleh da’ie. Ia merupakan bimbingan mengenali Islam melalui ; 
Pengenalan asas-asas Islam 
Ilmu-ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah
Keistimewaan sistem Islam
Isu-isu semasa

  • Qawaid bermaksud kaedah yang digunakan dalam proses berdakwah. dilaksanakan melalui 3 strategi iaitu ; 

1) Melalui lisan ( باللسان ). Contoh ; ceramah dan tazkirah selepas solat zohor, motivasi

2) Melalui penulisan ( بالكتابة ). Contoh ;risalah yang diedarkan kepada murid, memberi nasihat dalam blog, menulis dalam majalah, buku, surat khabar dan sebagainya.

3) Melalui hal/ situasi ( بالحال ). Contoh ; melalui peribadi/ contoh teladan yang baik, mengadakan usrah, menganjur program-program kerohanian seperti kempen solat jemaah, menutup aurat, sambutan hari kebesaran Islam dan sebagainya.

  • Uslub bermaksud pendekatan, jalan dan cara. Ia penting untuk menarik perhatian dan minat mad’u melalui ; 
  1. berhikmah dan bijaksana 
  2. gaya bahasa yang sesuai 
  3. dialog dengan bijaksana 
  4. kasih sayang 
  5. prihatin 
Keperluan Berdakwah

Antara sebab-sebab yang menjadikan dakwah sebagai suatu keperluan ialah :

Amanah Allah - Manusia sebagai khalifah di muka bumi, diberi akal fikiran sebaik-baik
kejadian. Justeru sebagai duta Allah, seseorang individu itu perlu melaksanakan amanah dan tanggungjawab untuk menyebarkan ajaran Islam dengan sebaik-baiknya.

Keadaan masyarakat sekarang - Situasi masyarakat dewasa kini yang semakin membimbangkan akibat kegagalan menangani arus globalisasi dunia tanpa sempadan. Akhirnya pelbagai unsur-unsur negatif dan keruntuhan akhlak seperti permasalahan sosial, keruntuhan akidah, isu murtad dan pengaruh ajaran sesat yang berleluasa. Dunia seolah-olah kembali kepada zaman jahiliyah yang mengikuti hawa nafsu, dorongan syaitan dan cintakan dunia.

Kejahilan manusia - Jahil bukanlah bermaksud bodoh dari sudut ilmu pengetahuan, tetapi lebih kepada kebodohan dalam mengenali dan mengakui Tuhan yang Esa. Manusia yang jahil memandang ilmu agama tidak penting. Mereka bersikap seolah-olah tiada beza halal dan haram, tidak membaca al-Quran, menunaikan solat dan sebagainya lagi. Orang yang berilmu turut berada dalam kejahilan apabila melakukan perkara yang tidak bermoral dan tidak bermaruah.

Menyelamatkan diri daripada kemurkaan Allah Taala - Allah bukan sahaja menurunkan bala kepada orang yang melakukan maksiat saja tetapi semua manusia termasuk orang alim yang tidak menasihati atau berdakwah kepada orang yang melakukan maksiat. Justeru, menjadi tanggungjawab orang yang ada ilmu agama untuk membela dan menyelamatkan bangsanya daripada kehancuran dan kemurkaan Allah Taala.

Manusia mudah lupa - Sifat fitrah manusia yang mudah lupa, lalai dan leka dengan keseronokan duniawi. Lantaran, mereka perlu diingatkan agar tidak sesat ke dalam hasutan syaitan dan kembali ke pangkal jalan yang benar.

Menjelaskan hikmah di sebalik suruhan dan larangan - Setiap suruhan dan larangan Allah memiliki pelbagai alasan dan hikmah yang tersendiri. Maka setiap manusia yang berakal waras akan berkeinginan untuk mengetahui alasan dan hikmah tersebut. Apabila mengetahui kebenaran yang hakiki, mereka akan lebih mudah menerima Islam. Dengan itu, seorang ibu bapa atau guru perlu menjelaskan hikmah dan kelebihan di sebalik perintah Allah supaya pelajar tidak rasa terpaksa atau dipaksa melakukannya. Akhirnya mereka akan melakukan sesuatu dengan ikhlas dan bukannya kerana rasa takut ataupun terpaksa.

Mesej yang sesuai dengan sasaran - Berkomunikasi mengikut kesesuaian tahap orang yang mendengar.Kerana itu, mereka perlu menggunakan ayat-ayat yang mudah difahami. Sebagai contoh Rasulullah s.a.w. sering menggunakan ayat yang mudah dan ringkas bagi memastikan para sahabat berasa senang dalam mengamalkan ajaran Islam.

PERANAN GURU

Guru Sebagai Satu Profesion - Menurut Kamus Dewan, guru bererti pendidik, pengajar dan pengasuh. Pendidik bermaksud orang yang memelihara dan melatih. Pengajar didefinisikan sebagai seorang yang menjadi petunjuk kepada orang lain. Manakala pengasuh merujuk kepada orang yang memelihara, menjaga dan mendidik. Sedangkan profesion, profesional dan profesionalisme dianggap mempunyai hubungkait rapat dengan kemahiran dan kepakaran yang diiktiraf. Profesion boleh ditakrifkan sebagai kerjaya, manakala professional ialah individu yang bekerjaya dan profesionalisme adalah nilai yang menjadi pegangan oleh seseorang individu dalam menjayakan kerjayanya.

Berikut adalah pandangan beberapa orang tokoh yang melihat kerjaya guru sebagai satu profesion :

  1. Cormin (1965), Havighurst dan Levine (1979), Howsam et al.(1976) beranggapan bahawa kerjaya pendidik layak diiktiraf sebagai professional
  2. Amital Etzioni (1969) meletakkan kerjaya guru sebagai separa professional. 
  3. Awang Had Salleh (1980) berpendapat bahawa guru lebih mirip kepada pekerjaan daripada profesion. 
  4. Pratte et al. (1993) menggariskan 4 kriteria yang perlu wujud sebagai profesion iaitu gaji, status sosial, berautonomi dan mempunyai kuasa autoritatif. 
Rumusannya, kerjaya guru bolehlah dianggap sebagai profesion yang profesional apabila mengambil kira tahap perkembangan masa kini yang semakin mencabar dan kerjaya guru yang lebih bersistematik. Di Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan “Tatasusila Profesion Keguruan” sebagai garis panduan kepada setiap guru dalam menjaga imej mereka selaku kakitangan awam.

Persediaan Sebagai Seorang Guru

Melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan ilmu-ilmu semasa - Bakal guru perlu melengkap diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Bukan sekadar ilmu mata pelajaran yang akan diajar, malah juga ilmu-ilmu lain dan ilmu-ilmu semasa. Contoh :
  • Menguasai ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. 
  • Ilmu tentang mata pelajaran yang diajar 
  • Perkembangan isu-isu semasa sama ada dalam dan luar negara 
  • Membudaya ilmu dengan cara banyak membaca dan 
  • membuat kajian atau penyelidikan. 
Mengukuhkan keimanan dalam diri. Seorang bakal guru juga perlu mengukuhkan keimana dalam diri mereka melalui :
  • Memiliki akidah yang sahih 
  • Memelihara dan menjaga iman daripada perkara yang membatalkan iman 
  • Menambah keimanan setiap masa 
Mengamalkan “amar ma’ruf nahi munkar”- Sebagai seorang muslim sejati, seorang guru perlulah sentiasa peka dan menjadi agen penggerak kepada masyarakat. Mereka sewajarnya menerapkan amalan Islam melalui pelaksanaan suruhan Allah dan menjauhi segala larangannya dengan cara berikut :

  • Menjadikan Islam sebagai satu cara hidup (way of life) 
  • Melaksanakan amalan wajib dan sunat 
  • Menjauhkan diri daripada perkara haram 
  • Meninggalkan perkara makruh dan syubhah 
  • Istiqamah dalam melakukan ibadah 
Melengkapkan diri dengan asas kemahiran terkini - Seorang guru yang hebat akan sentiasa meneroka ilmu pengetahuan dan menyiapkan diri dengan perkembangan arus semasa yang berkembang dengan pesat. Justeru, mereka perlu menyiapkan diri
dengan pelbagai kemahiran terkini seperti :

  • Menguasai kemahiran asas-asas Islam seperti al-Quran, jawi, bahasa Arab
  • Kemahiran kepimpinan masyarakat 
  • Kemahiran komunikasi dan bersosial (inter & intrapersonal) 
  • Menguasai pelbagai bahasa (B.Arab, Inggeris, Cina, Tamil) 
  • Kemahiran ICT (internet, PPT, dll) 
Sifat Guru

1) Zuhud dalam kerjaya. Melaksanakan amanah dengan niat mencari keredhaan Allah dan bukannya kerana mengharapkan balasan kebendaan.

2) Sentiasa menjaga kebersihan diri dan jiwa. Membersihkan diri dengan penampilan diri yang kemas. Manakala membersihkan jiwa daripada kekotoran seperti riak, hasad dan dengki.

3) Menjaga kehebatan dan penghormatan diri seperti menjaga peribadi, bersifat rendah diri dan tidak terlibat dengan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan maruah sama ada dalam bentuk pemakaian, percakapan serta perbuatan.

4) Bertindak sebagai ibu atau bapa kepada murid dengan mengasihi mereka seperti anak sendiri, menyelidiki dan mengetahui latar belakang murid serta melayan murid dengan baik dan adil.

5) Memahami tabiat murid melalui mengetahui taraf, latar belakang dan kemampuan murid serta menyesuaikan kemampuan murid dengan kaedah dan bahan bantu mengajar.

Ciri-ciri guru yang efektif menurut Imam al-Ghazali :
Rasa simpati kepada murid dan menganggap mereka seperti anak sendiri.

Mengikut tingkah laku dan sunnah Rasulullah saw.

Tidak mengharapkan ganjaran

Memberi nasihat dengan lemah lembut dan bukannya memarahi

Tidak merendahkan disiplin ilmu di hadapan murid

Menyediakan bahan pengajaran mudah difahami dan sesuai dengan tahap murid.

Peranan Guru

Muallim - setiap guru hendaklah menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid secara
berkesan. Mereka bertanggungjawab menyampaikan ilmu yang benar dan menjadikan seseorang individu memiliki ilmu pengetahuan melalui proses yang berperingkat peringkat.

Ciri-ciri muallim :

  • Memiliki niat yang ikhlas. 
  • Bermatlamatkan untuk menyelamatkan murid daripada azab neraka dan mendekatkan mereka kepada Allah. 
  • Mengetahui dasar-dasar dan asas-asas pendidikan dalam negara. 
  • Memahami strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. 
  • Dapat memotivasikan murid. 
  • Memiliki kemahiran pengurusan bilik darjah yang berkesan. 
  • Memberi perhatian kepada semua pelajar khususnya yang lemah. 
  • Mengamalkan apa yang diajar. 
  • Berusaha meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan. 
  • Meningkatkan kemahiran ikhtisas dengan menghadiri kursus dan seminar dari masa ke semasa. 
  • Mempelbagaikan strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang dapat menarik minat pelajar. 
  • Menerapkan nilai-nilai murni di dalam pengajaran dan pembelajaran dengan jelas dan tepat. 
Mudarris - seorang guru sewajarnya dapat mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan kondusif.

Ciri-ciri mudarris :
  • Zuhud; mengajar bukan untuk ganjaran. 
  • Medapat keredhaan Allah 
  • Bersih jiwa daripada sifat riak, pemarah dan ujub. 
  • Menjaga kebersihan diri dan pakaian. 
  • Berkeperibadian mulia. 
  • Menjaga kehebatan dan kehormatan diri 
  • Rendah diri 
  • Pandai menjaga diri 
Muaddib - guru bertanggungjawab mendidik dan membentuk akhlak dan tingkah laku murid. Mereka juga perlu menimbulkan semangat dan minat murid dalam megamalkan ajaran Islam sehingga menjadi kebiasaan. Contoh :
  • Solat berjemaah, berpuasa, rajin belajar, menjaga kebersihan. 
  • Melahirkan minat pelajar melalui program-program seperti tilawah, azan, nasyid. 
  • Mengajar adab dan budi pekerti. 
  • Proses mendisiplinkan murid melalui pendekatan kerohanian dan jasmani. 
  • Melibatkan perkataan, perbuatan, kepercayaan dan niat. 
  • Melibatkan penguasaan ilmu pengetahuandan perubahan sahsiah dengan tujuan untuk mencapai akhlak mulia. 
Ciri-ciri muaddib :
  • Perlu menjadi contoh teladan yang baik. 
  • Menanamkan perasaan cinta dan taat kepada Allah. 
  • Menyematkan kepercayaan yang benar dalam diri murid. 
  • Memberikan kefahaman yang jelas mengenai kepentingan ibadah. 
  • Menaikkan semangat murid. 
  • Menimbulkan minat murid untuk mengamalkan ajaran Islam. 
Mursyid - Memberi dorongan dan motivasi kepada murid dengan cara memberi petunjuk dan membentuk kepimpinan insan. Guru juga perlu bersedia menjadi seorang penasihat yang baik serta menjadi pengajar, penasihat dan pendorong. Mereka hendaklah membantu murid untuk berkembang dan mencapai kecemerlangan diri. Malah sebagai mentor kepada murid mereka menjadi rujukan dalam perkara yang berkaitan dengan permasalahan agama kepada rakan sejawat, murid-murid dan masyarakat.

Ciri-ciri mursyid :

  • bersifat ikhlas, penyayang dan murah hati. 
  • mengambil berat dan seorang pendengar yang baik. 
  • sentiasa menerima tugas dan bertanggungjawab. 
Murabbi - Sebagai murabbi, seseorang guru akan mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid. Mereka bertindak untuk mendidik pelajar dengan cara mencurahkan kasih sayang, memelihara, mendidik, mengembangkan, dan menyuburkan pendidikan jiwa pelajar. Proses mendidik dan membentuk akhlak murid sehingga wujud kasih sayang dan saling mempercayai.

Ciri-ciri murabbi :
  • Menyayangi murid seperti anak sendiri. 
  • Memberi nasihat dalam pengajaran dan tingkah laku murid. 
  • Menjaga disiplin muridnya. 
  • Mengguna pendekatan menegur secara baik. 
  • Menggalakkan perlakuan ma’ruf secarakasih sayang. 
  • Mengutamakan keselamatan dan kebajikan murid. 
  • Adil terhadap murid tanpa mengira latar belakang. 
  • Merahsiakan maklumat sulit murid. 
  • Membimbing murid melalui cara berpakaian, pertuturan, tingkah laku 
Tanggungjawab Guru

Di sekolah :

Guru sebagai pemimpin sekolah, panitia, kelab dan murid.

Guru sebagai pengurus sesi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Guru sebagai contoh teladan yang terbaik kepada murid.

Kepada murid :

Mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid daripada yang lain.

Bersikap adil kepada semua murid tanoa mengira bangsa, agama

Penampilan imej yang baik melalui pertuturan, berpakaian, tingkah laku dan pergaulan.

Sentiasa meningkatkan profesionalisme perguruan.

Masyarakat dan negara :

Menyebarkan ilmu yang benar.

Membimbing murid menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna.

Menghormati masyarakat dan tempat berkhidmat.

Berkerjasama dan menjaga tingkah laku dalam kehidupan seharian

Bentuk Dakwah di Sekolah

  • Penulisan dan risalah 
  • Ceramah dan tazkirah 
  • Contoh teladan 
  • Usrah 
  • Program keagamaan seperti hari kebesaran Islam, festival nasyid 
Teknik Dakwah di Sekolah

Penjelasan yang nyata dan jelas - Teknik berdakwah yang berkesan amat mementingkan penjelasan yang tepat dan benar terhadap sesuatu perkara. Teknik ini bertujuan untuk memudahkan dan memberi kefahaman kepada orang lain. Sebagai seorang guru, kita tidak boleh membiarkan anak murid didedahkan dengan sesuatu tanpa penjelasan kerana ditakuti akan terpesong dan salah tafsiran. Rasulullah s.a.w. akan menjelaskan sesuatu dengan terperinci berdasarkan firman Allah di dalam al- Quran melalui hadith Baginda s.a.w.

Berperingkat-peringkat - Dakwah di sekolah hendaklah dijalankan secara berperingkatperingkat. Ini akan memudahkan penerimaan mad’u (murid) kerana perubahan memerlukan masa. Perubahan secara drastik akan mengejutkan dan membebankan pelajar. Ini sejajar dengan ajaran Islam yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat secara berperingkat dan bukannya sekaligus.

Mudah - Islam itu mudah dan fleksible. Guru perlu mendidik pelajar dengan pendekatan yang memudahkan dan bukannya terlalu rigid terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh Tuntutan solat ; bagi yang tidak mampu berdiri, perlu solat secara duduk, jika tidak mampu, secara berbaring, mengiring dan isyarat mata.

Lemah lembut, berhikmah dan bijaksana - Dakwah juga hendaklah disampaikan secara lemah lembut, berhikmah dan bijaksana. Ini kerana menjadi fitrah manusia lebih mudah menerima teguran secara berhikmah dan bukannya secara kekerasan dan kasar.

Kesan Dakwah

Individu (murid).

menjadi perisai kehidupan untuk mengawal unsur-unsur kehaiwanan yang semulajadi wujud dalam diri manusia.

menjadikan manusia sebenar dengan memiliki akhlak yang mulia.

berjaya membentuk akhlak terpuji murid.

Masyarakat

Melahirkan masyarakat yang mengamalkan cara-cara hidup Islam.

membina khairu ummah

mewujudkan muslim yang sejahtera akidahnya, sihat ibadahnya dan teguh akhlaknya.

menghasilkan masyarakat Islam yang berilmu, beriman dan bertaqwa.

masyarakat yang penuh dan mengabdikan diri kepada Allah, berkasih sayang, bekerjasama dan bertanggungjawab.

memelihara kestabilan hidup bermasyarakat dan bernegara.

No comments:

Post a Comment