Wednesday 9 November 2016

Kesan iman dalam kehidupan

Manusia dari segi fitrahnya memerlukan kepada suasana beragama. Agama ini tidak lain adalah agama Islam. Ini adalah kerana hanya agama Islam sahaja yang dapat menyelamatkan manusia dari penyembahan berhala kepada penyembahan Allah Yang Maha Esa berdasarkan konsep Tauhid. Ini berdasarkan firman Allah :

Maksudnya: Maka hadapkanlah dirimu (Wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) ke arah  agama yang jauh dari kesesatan, (turutlah terus)’agama Allah’ iaitu agama yang  Allah menciptakan manusia  (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya ) untuk menerimanya tidaklah patut ada sebarang perubahan (janganlah kamu mengubah agama Allah yang berdasarkan tauhid kepada sebarang perbuatan syirik) itulah agama yang berul lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Ar Ruum: 3

Islam sesuai dengan fitrah manusia kerana bertepatan dengan kehendak rohani dan jasmani dunia dan  akhirat. Islam memerintahkan keseimbangan antara kehidupan dunia dan akhirat. Ini bertepatan dengan apa yang dinyatakan dalam al Quran. Firman Allah SWT. 
  
Maksudnya:
Kemudian setelah selesai mengerjakan sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi(untuk menjalankan tugas masing-masing), dan carilah apa yang kamuhajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam semua keadaan) supaya kamu Berjaya (di dunia dan akhirat) (al Jumuah:10)
Bersesuaian dengan kehidupan yang dihadapi oleh manusia iaitu kehidupan dunia dan akhirat, maka Islam telah menggesa manusia agar mementingkan hidup di dunia namun tidak mengabaikan keperluan akhirat. Ia dengan jelas dinyatakan dalam al Quran:
   
Maksudnya:
Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu  (keperluan dan bekalanmu) dari dunia. (al Qasas: 77)

Kesan Iman Dalam Kehidupan

Allah mencipta manusia terdiri daripada rohani dan jasmani. Kehidupan harian manusia bergantung kepada kedua-duanya. Justeru itu, rohani dan jasmani perlu diberi makanan yang sesuai dengannya. Sebagai contoh, makanan yang baik, berkhasiat dan halal dari hukum syarak dapat membina sahsiah seseorang itu. Makanan yang baik jugalah akan memberi kesihatan kepada jasmani manusia dan menyebabkan mudah beribadat kepada Allah. Begitu juga dengan rohani. Ia perlu diberi makanan yang sesuai dengannya agar rohani terus berkembang dan memandu jasad agar tunduk dan mentaati perintah Allah. Makanan rohani tidak lain adalah keimanan kepada Allah kerana ia akan memandu manusia mentaati perintahNya.

Sebagai makhluk Allah, sudah pasti manusia akan berasa aman apabila berada dalam keimanan sesuai dengan maksud ’iman’ itu sendiri. Ini jelas sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah, tenang tenteramlah hati-hati manusia.(Al Ra’du:28)

Jelaslah keimanan seseorang sudah cukup untuk mendatangkan ketenangan dalam diri seseorang hamba. Keimanan kepada Allah merupakan amal yang seiring dengan fitrah penciptaan seseorang manusia sebagaimana firman-Nya yang menyatakan tentang penciptaan manusia & jin hanyalah untuk beribadat kepada-Nya sebagaimana firman Allah dalam al Quran(Al Zariyaat: 56)

Maksudnya; “dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”

 Menurut Haji Said (1996) selain ketenangan, iman juga mengikat hubungan persaudaraan sesama manusia. Ini dibuktikan melalui firman Allah:

Maksudnya:
Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa lagi Maha  Bijaksana

            Kehidupan manusia sehari-hari di dunia ini mempunyai pertalian dengan Allah sebagai Khalik dan sesama makhluk. Perasaan kasih sayang atas dasar keimanan juga dipupuk bersama dakwah Rasulullah. Ini ditunjukkan melalui peristiwa persaudaraan antara Ansar dan Muhajirin. Hati-hati umat Islam disatukan atas tiket keimanan dan mencari keredhaan Allah. Perasaan kasih sayang ini wujud dalam usaha mentauhidkan Allah. IIni jelas melalui ayat al Quran:  

“Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu yang bertelingkah”

Allah telah menjadikan rupa bentuk tubuh badan manusia dan berlainan kulit. Namun perbezaan ini bukanlah menjadi batu penghalang untuk mewujudkan perpaduan antara umat Islam. Perbezaan ini juga merupakan cara supaya manusia saling mengenali kerana kehidupan manusia ini saling bergantungan. 

Definisi Iman, Islam dan Ihsan

Perkataan Iman dari sudut bahasa merupakan masdar daripada kata dasar ‘amana’. Dalam al-Mu‟jam al-Wasith (1976) „amana‟-„Imana‟, ertinya menjadi aman, sedangkan ‘amana bihi’ maksudnya ialah mempercayai dan membenarkannya. Penggunaan perkataan ‘amana’  dalam makna ini terdapat di dalam al-Quran seperti di dalam surah Yusuf ayat 17:

Maksudnya:
Dan kamu sekali-kali tidak akan beriman kepada kami sekalipun kami adalah orang yang benar

Justeru, Iman menurut bahasa melibatkan suatu kepercayaan, keyakinan, merasa aman pada sesuatu perkara sama ada ketuhanan, kemanusiaan, ideologi ataupun falsafah. Dalam bahasa Malaysia pula, apabila dilihat di dalam Kamus Dewan, Iman dinyatakan sebagai kepercayaan adanya Allah SWT dan mematuhi segala perintahNya. Pengertian ini lebih hampir pada definisi Iman menurut istilah syarak berdasarkan pandangan para ulama dalam membincangkan pengertian Iman yang bersumberkan al-Qur‟an dan Hadith.

Dari segi istilah syara', pengertian iman ialah: Membenarkan dengan hati secara putus (jazam) akan segala yang dibawa atau didatangkan oleh Rasulullah s.a.w dan thabit secara putus (qat'i) yang diketahui kedatangannya itu adalah secara darurah.  Membenarkan dengan hati bererti meyakini, mengakui serta menerima dengan kerelaan akan kebenaran tersebut, dan keyakinan tersebut tempatnya adalah dalam hati. keyakinan ini pula adalah di atas dasar 'ilmu yang yakin, bukan di atas dasar syak atau keraguan. Ini adalah kerana membenarkan sesuatu secara  sangkaan adalah tidak termasuk dalam istilah iman. Pengertian Islam dijelaskan oleh Allah dalam firman Nya :
  
Maksudnya:
"Dan siapakah yang lebih baik dinnya dari orang yang menyerahkan wajahnya (dirinya) kepada Allah, sedangkan dia berbuat ihsan dan mengikuti din Ibrahim dengan hanya cenderung kepada Allah."  (Al Nisa': 125)


Berpandukan kepada ayat ini maka Islam dapat diberikan pengertian sebagai: " Penyerahan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan hati".  Inilah intipati dari keseluruhan makna Islam. Islam dengan pengertian induk ini tidak hanya dikhususkan kepada manusia tetapi juga merangkum segala kejadian di alam semesta seperti yang dijelaskan oleh Al Qur'an:
  
"Apakah selain dari din Allah yang mereka masih mencari cari sedangkan segala yang di langit dan di bumi telah Islam (menyerah diri) kepada Nya dengan kerelaan hati dan terpaksa. Dan kepadaNya mereka akan dikembalikan." (Ali 'Imran: 83)

Firman Allah lagi dalam ayat yang lain:

"Dan kepada Allah sujud segala yang di langit dan di bumi dengan kerelaan hati dan terpaksa, dan juga bayang bayang mereka pada setiap pagi dan petang." (Ar Ra'd: 15)

Dari kedua dua ayat di atas maka dapatlah disimpulkan bahawa pengertian Islam itu tersimpul pula dalam penyerahan diri kepada Allah. Penyerahan yang setepat tepatnya dalam hubungan manusia dengan Penciptanya ialah sujud kepada Allah dengan penuh kepatuhan dan ketundukan. Oleh itu jelas sekali di antara ketiga tiganya; al Din, Islam dan sujud mempunyai kaitan dan jalinan makna yang erat dan tabi'i.

Penyerahan diri ini tidak hanya terbatas kepada gerak laku anggota zahir sahaja tetapi juga merangkumi 'amalan batin. Ini bererti penyerahan ini merangkumi jasmani dan ruhani, 'aqal dan perasaan atau jiwa dan hati kepada Allah. Penyerahan ini tidak terbatas kepada sudut sudut tertentu sahaja tetapi merangkumi segala ruang liput kehidupan manusia. Islam dalam erti penyerahan diri kepada Allah merangkumi empat bidang yang pokok dan asasi di dalam kehidupan manusia:

1.    Penyerahan diri kepada Allah dalam bidang 'aqidah
2.    Penyerahan diri kepada Allah dalam bidang 'ibadah
3.    Penyerahan diri kepada Allah dalam bidang akhlaq
4.    Penyerahan diri kepada Allah dalam bidang perundangan atau syari'at

Ihsan dari segi bahasa bermakna bekerja dengan baik dan tekun. Dari segi syarak pula bermakna mengelokkan perbuatan zahir dengan ibadat dan mengelokkan perbuatan batin dengan ikhlas (Ahmad Mohd Salleh,2004) Ihsan juga membawa pengertian melakukan ibadat dengan khusyuk, ikhlas dan yakin bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi apa yang dilakukannya. Ia bersesuaian dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu
(surah an Nisaa’: ayat 1)

Al Quran menerangkan bahawa ihsan wajib menjadi tabiat manusia. Allah SWT telah member nikmat kepada manusia dengan ihsan-Nya, maka manusia juga perlu ihsan dengan nikmat ini kepada makhluk.(Ahmad Mohd Salleh, 2004)
Ia bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah al Qasas ayat: 77)

Maksudnya:
Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-ruah)

Ayat-ayat berkaitan sifat ihsan ini banyak terdapat dalam al Quran. Ini menunjukkan bahawa ihsan ini amat digalakkan dalam kehidupan harian manusia.  Antaranya:

Maksudnya:
Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedah kebaikan yang kamu lakukan ialah untuk diri kamu, dan jika kamu berbuat kejahatan maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga
(al Isra’ ayat:7)

Maksudnya:
Sesungguhya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberikan bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta zalim.(an Nahl:90)

Kelebihan Ihsan dalam kehidupan:

1)    Mentaati perintah dan larangan Allah SWT dengan ikhlas
2)    Sentiasa amanah, jujur dan menepati janji
3)    Berasa nikmat dan seronok dengan ibadah
4)    Mewujudkan keharmonian masyarakat
5)    Mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Perbezaan antara beriman dan tidak beriman

Iman merupakan satu persoalan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Iman meliputi semua aspek kehidupan manusia dan menentukan matlamat seseorang itu di akhirat nanti sama ada syurga atau neraka. Namun, fenomena yang berlaku pada hari ini mendapati bahawa perintah Allah itu tidak diikuti atau dilaksanakan sepenuhnya bahkan larangan Allah menjadi ikutan dan amalan seharian.

Definisi iman yang telah dibincangkan pada tajuk sebbelum ini menunjukkan perkaitan antara hati, lisan melalui ikrar dan perbuatan melalui anggota badan. Dari itu, jelas kepada kita bahawa perkara yang boleh merosakkan iman boleh dikenalpasti melalui 3 pintu tersebut. Oleh itu, hukum syara' telah menjelaskan bagi iman dan Islam itu ada pintu masuk dan juga pintu keluarnya. Sesungguhnya ikrar dan mentasdiqkan dua kalimah syahadah itu menjadi kuncinya. Seseorang itu dianggap keluar daripada iman dan Islam apabila lahir daripadanya perkataan, perbuatan atau i'tiqad yang membatalkan ikrar dan tasdiq dari dua kalimah syahadah.

Oleh itu sesiapa yang bercakap atau melakukan perkara-perkara yang menunjukkan keingkarannya terhadap ikrar syahadah maka syahadahnya terbatal dan keluarlah dia dari Islam. Dalam sistem pemerintahan Islam, orang tersebut wajib dikenakan hukuman kerana melakukan jenayah murtad. Firman Allah SWT:

Maksudnya:
Orang-orang " A'raab" (orang Arab dusun) berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: "Kami telah Islam". Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Jadi jelaslah orang mukmin itu semestinya seorang muslim namun seorang muslim itu tidak semestinya mukmin. Seharusnya seorang muslim itu beriman kerana ianya melengkapi status muslim sebagai penganut agama Islam, agama yang diredhai di sisi-Nya.

Hak dan tanggungjawab Muslim terhadap  Individu, Keluarga, Masyarakat dan Negara

Manusia telah diciptakan oleh Allah terdiri dari dua unsur iaitu rohani dan jasmani. Al Quran telah menjelaskan dengan nyata tentang proses kejadian manusia dari sudut jasmani bermula dari kejadian manusia pertama iaitu Adam a.s ataupun zuriat keturunannya. Berkaitan kejadian Adam a.s, Allah telah menurunkan beberapa ayat berkaitan dengannya iaitu melalui surah al Furqan:54, surah al Anbiya: 30, surah as Saffat:11, surah ar Rahman: 14, surah al Hijr: 28 dan surah an Najm:32. Kejadian zuriat keturunan Adam a.s pula dijelaskan oleh Allah melalui firmanNya surah as Sajdah:9, surah al Mukminun:9, surah az zumar: 6, surah Nuh:14 dan surah al Mukminun:9-14.

Kajian sains juga telah membuktikan bahawa terdapat unsur-unsur bumi (tanah) dalam diri (jasmani) manusia. Oleh kerana itu, tuntutan dan keperluan hidup adalah juga dari tanah. Ianya terhimpun berasaskan tiga perkara utama iaitu; makanan dan minuman, pakaian dan perhiasan, kediaman dan keamanan. (Haron Din, 1988) Walaupun dicipta dari dua unsur yang berbeza tetapi kekuasaan Allah telah menjadikan kombinasi kedua-duanya dalam satu bentuk yang indah iaitu manusia. Allah tidak membiarkan kejadian manusia itu sia-sia sahaja tetapi telah diberi panduan agar tidak meraba-raba sendirian dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Untuk itu, tanggungjawab manusia di dunia ini adalah sebagai hambaNya dan khalifah untuk memakmurkan bumi ini.

Tanggungjawab muslim sebenarnya telah digariskan dalam oleh Allah Taala dalam sepotong ayat dan kemudian diulangi beberapa kali pada ayat-ayat yang lain dalam al-Quran. Ayat yang menggariskan peranan umat Islam dalam kehidupan ini ialah firman Allah Taala:
  
Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya, Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: “Orang-orang Islam” semenjak dahulu dan dalam (al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang member keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah solat, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatnya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. (al-Hajj: 77-78)

Manusia adalah makhluk Allah S.W.T. yang sangat indah bentuk tubuh badannya jika dibandingkan dengan haiwan dan makhluk-makhluk lain di bumi ini. Bukan sekadar tubuh badan tetapi Allah juga mengurniakan akal fikiran untuk membolehkan manusia dapat membezakan antara baik dan buruk. Akal fikiran inilah merupakan pembeza antara manusia dengan haiwan. Walau bagaimanapun, dengan akal fikiran sahaja tanpa disertai dengan belajar atau menuntut ilmu, manusia akan sesat dan bodoh serta hidupnya tidak terarah kepada jalan yang betul. Ilmu adalah suatu alat yang paling berguna supaya dapat menjalankan tugas sebagiahamba Allah S.W.T. Dengan ilmu pengetahuan seseorang itu dapat mencapai kedudukan atau darjat yang tinggi.

Ilmu pengetahuan yang wajib dipelajari oleh umat Islam itu amat luas. Tetapi yang wajib dipelajari ialah ilmu fardu ‘ain dan fardu kifayah.Ilmu fardu ‘ain ialah ilmu untuk membolehkan setiap orangn Ilam mengerjakan kewajipan yang dituntut oleh agama seperti mengerjakan sembahyang, puasa, mengerjakan haji dan sebagainya. Selain itu, termasuklah ilmu pengetahuan bagaimana menjaga akhlak dan akidah. Fardu kifayah pula ialah kewajipan yang dikerjakan oleh beberapa orang sahaja, maka semua masyarakat Islam yang lain akan bebas daripada kewajipan itu. Antaranya ialah sembahyang lima waktu secara berjemaah, menjawab salam dalam satu kumpulan, menguruskan jenazah, menziarahi orang Islam yang sakit dan sebagainya.

Ilmu pengetahuan yang difardukan itu terbahagi kepada dua iaitu ilmu syariat dan ilmu bukan syariat. Ilmu syariat ialah ilmu pengetahuan yang diperoleh daripada Nabi Muhammad S.A.W. dan ilmu bukan syariat pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu ilmu yang terpuji dan ilmu yang diharuskan. Ilmu yang terpuji ialah ilmu yang ada hubungan dengan kepentingan danurusan duniawi. Contohnya ilmu perubatan dan ilmu kira-kira. Ilmu perubatan penting untuk kegunaan manusia dan kehidupan dan ekonomi. Sekiranya tiada orang Islam yang berkelayakan sebagai doktor, nescaya susahlah masyarakat di sesuatu tempat untuk mendapatkan rawatan

Selain itu, banyak lagi ilmu pengetahuan keduniaan terpuji yang wajib dituntut. Misalnya, ilmu-ilmu pengetahuan tentang politik, pentadbiran, institusi membuat pakaian, perumahan, kejuruteraan, pertanian, pembuatan barangan keperluan, kaji bumi dan pelbagai lagi ilmu pengetahuan yang berupa keduniaan tetapi penting untuk kehidupan umat Islam.

Allah memerintahkan umat Islam agar rukuk, sujud dan mendirikan solat yang merupakan induk ibadah, tiang agama Islam dan imej Islam yang paling ketara. Allah memerintahkan mereka agar menyembah Allah dan tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Mereka hendaklah melakukan kebaikan menurut kemampuan mereka. Di samping itu Allah juga memerintahkan mereka melakukan kebaikan dan melarang melakukan kejahatan. Kebaikan pertama yang perlu dilakukan ialah dengan tidak melakukan kejahatan. Suatu ungkapan yang ringkas dan padat. Setelah itu Allah berikan jaminan bahawa mereka akan memperolehi kejayaan. Inilah tanggungjawab individu bagi setiap muslim yang perlu dilakukannya sendiri samada secara berseorangan atau berkumpulan.

Setelah itu Allah perintahkan mereka supaya berjuang di jalan Allah dengan bersungguh-sungguh demi mengembangkan dakwah ini kepada seluruh manusia dengan hujah yang mantap. Jika manusia enggan menerima sebaliknya membalasnya dengan tindakan kejam dan zalim barulah digunakan kekuatan senjata. Jihad bagi mengembangkan dakwah Islam terutama bagi memelihara kesucian Islam adalah suatu kawajipan yang diletakkan oleh Allah ke bahu umat Islam sama sepertimana Allah mewajibkan mereka solat, puasa, zakat, haji, membuat kebaikan dan menjauhi kejahatan. Allah mewajibkan dan juga menggalakkan mereka memiliki kekuatan dan kemampuan. Ayat yang menyebut perintah ini datang dengan amaran yang cukup keras dan suatu nasihat yang perlu diberikan perhatian. 

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. (at-Taubah: 41)

Allah telah mendedahkan rahsia di sebalik segala perintah dalam kewajipan ini kepada umat Islam. Allah jelaskan bahawa Dia memilih mereka supaya menjadi peneraju manusia, pemelihara syariat-Nya, menjadi wakil-Nya di bumi ini dan sebagai pewaris Rasulullah s.a.w. memikul dakwah baginda. Allah telah bentangkan kepada mereka agama ini. Allah telah memantapkan syariat-Nya, memudahkan segala hukum-hakam-Nya dan menjadikan hokum-hakam ini sesuai untuk semua zaman dan tempat supaya ia boleh diterima oleh seluruh manusia. Melalui syariat ini manusia akan meletakkan segala harapan dan impian yang mereka nantikan.

Inilah tanggungjawan sosial yang telah diserahkan oleh Allah kepada seluruh umat Islam. Mereka hendaklah berada dalam satu barisan, satu ketumbukan dan satu kekuatan. Mereka hendaklah menjadi tentera penyelamat yang akan menyelamatkan seluruh manusia dan membimbing mereka ke arah jalan yang betul.

Selepas itu Allah Taala menjelaskan hubungan antara perintah solat dan puasa dengan perintah sosial tadi di mana perintah pertama adalah sebagai langkah awal untuk perintah kedua. Akidah yang sahih pula adalah asas untuk kedua-dua perintah. Tujuannya, supaya manusia tidak menjadikan perintah tadi sebagai alasan untuk tidak melakukan kewajipan individu mereka dengan alasan mereka telah beramal untuk semua manusia. Dalam masa yang sama ia tidak menjadi alasan kepada manusia lain untuk tidak berbakti kepada semua manusia dengan alasan mereka sibuk dengan ibadah mereka dan menghabiskan sepenuh masa menghadap Tuhan. Bukankah ayat ini tepat dan bijaksana.

Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah? (an-Nisa’: 87)

Mengabdikan diri kepada Tuhan kamu dan berjihad demi memartabatkan agama dan syariat  adalah tanggungjawab dalam hidup ini. Jika tanggungjawab ini telah ditunaikan dengan bersungguh-sungguh, kamu adalah golongan yang beroleh kejayaan. Jika kamu hanya laksanakan separuh atau kamu abaikannya sama sekali perhatikanlah firman Allah Taala:

Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam; tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Tuhan (yang memiliki) Arasy yang mulia (Al-Mukminun: 115-116)

Tanggungjawab individu tidak terhenti setakat itu sahaja. Sebagai individu muslim juga bertanggungjawab terhadap keluarga. Struktur sesebuah masyarakat adalah terbentuk dari kelompok keluarga. Dalam tempoh dua atau tiga generasi atau lapisan keturunan, keluarga yang berasal daripada sepasang suami isteri telah berkembang. Dalam proses perkembangan inilah terjadinya pelbagai keadaan penghidupan qada’ dan qadar masing-masing.  Tanggungjawab dan kewajiban seseorang yang paling penting kepada ahli keluarganya ialah memberi pendidikan agama secukupnya. Dalam al Quran Allah SWT berfirman:

Maksudnya:
Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka, yang bahan-bahannya bkarnya ialah manusia dan batu (berhala) . (Surah At-Tahrim : Ayat 6)

Walau bagaimanapun, setiap orang Islam hendaklah bersifat optimis serta mengambil langkah positif dalam melaksanakan tanggungjawab ini. Selain berbuat baik atas kebaikan yang disuruh Allah iaitu memberikan nafkah kepada mereka, menunjuk ajar dan memimpin mereka ke arah jalan yang diredhai Allah, melarang mereka melakukan kejahatan dan pelbagai kemaksiatan terhadap Allah.

Tanggungjawab ibu bapa sangat penting terhadap anak-anak untuk memastikan mereka beriman kepada Allah.Rasulullah pernah berpesan: ‘ Buatlah kebajikan kepada anak-anakmu sebagaimana ibubapamu berhak ke atasmu, maka begitu juga anakmu mempunyai hak atasmu (Hadis riwayat Abu Umar ‘Annauqati dari Usman b Affan)  Ibu bapa wajib memberi pendidikan dan pelajaran kepada anak-anak. Begitu juga kasih sayang agar menjadi orang yang berguna kepada negara. Ibu bapa juga hendaklah menunjukkan contoh  kepada anak-anak.

Apabila membicarakan tanggungjawab ibu bapa maka kita tidak boleh lari juga membincangkan peranan dan tanggungjawab anak-anak. Kewajipan anak-anak ialah berbuat kebajikan kepada ibu bapa. Berbakti kepada ibu bapa bukanlah hanya ketika mereka masih hidup, bahkan ketika sudah meninggal. Cara untuk berbakti ialah dengan berdoa untuk kebahagian roh, menunaikan janji mereka dan sebagainya.  Anak-anak lahir daripada kasih sayang kedua ibu bapa. Maka sebab itulah juga kita perlu meneliti tanggungjawab terhadap pasangan masing-masing. Kewajipan seorang suami ialah mengawal isterinya dengan baik dan adil terhadapnya kerana isteri adalah amanah Allah.

Suami juga bertanggungjawab memberi nafkah perbelanjaan seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut kemampuan mereka. Selain itu, suami juga mestilah memberi didikan yang sempurna kepad isteri terutama dalam hal-hal fardu ‘ain. Kewajipan isteri terhadap suami pula ialah taat dalam perkara yang tidak bertentangan dengan syarak. Isteri perlulah menjaga dan memelihara kesucian diri mereka setiap masa. Peranan keluarga pula tersebar kepada masyarakat. Keluarga yang bergabung membentuk masyarakat.  Masyarakat memainkan peranan utama dalam pembentukan serta pembangunan ummah. Oleh itu di dalam mewujudkan masyarakat yang sejahtera, perlulah ada sifat tolong-menolong dan bertolak ansur sesama mereka.

Agama Islam telah menentukan peraturan dan cara-cara pergaulan serta tatatertib yang wajib dipatuhi. Tanggungjawab dan kewajipan setiap masyarakat terutamanya umat Islam ialah saling menyayangi, hormat-menghormati dan bekerjasama di antara satu sama lain. Satu lagi tanggungjawab dan kewajipan setiap umat Islam khususnya ialah jangan mendengar berita-berita atau umpatan mengenai keburukan orang lain. Larangan Allah S.W.T. mengenai perkara di atas tersebut. Rasulullah S.A.W. bersabda :

“ Tidak akan masuk syurga orang yang suka menyampaikan berita-berita buruk kepada yang lain. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat supaya melindungi dan mempertahankan negara daripada musuh-musuh yang menyerang negara kita. Selain itu masyarakat juga berperanan dan bertanggungjawab mempertahankan musuh-musuh yang cuba menyelewengkan agama Islam. Pemimpin negara adalah orang yang sangat penting dalam sesebuah negara untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara.   Sebagai contoh tanggungjawab seoran pemimpin negara adalah membela rakyat dengan meningkatkan taraf hidup. Misalnya pertanian, perdagangan, perindustrian dan sebagainya di mana rakyat mendapat sumber mencari rezeki yang luas.

Pemimpin juga bertanggungjawab untuk melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat dengan mengadakan pasukan-pasukan keselamatan dan pertahanan yang sewajarnya. Selain itu, pemimpin juga bertanggungjawab membekalkan ilmu pengetahuan yang secukupnya. Selain bertanggungjawab terhadap negara, manusia juga memunyai peranan untuk memakmurkan alam semesta. Alam semesta adalah anugerah dari Allah pada setiap makhluk di muka bumi ini terutama sekali kepada manusia supaya dapat menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

Manusia perlulah memelihara alam ini seperti menjaga tumbuhan, memelihara haiwan dengan baik dan sebagainya. Penebangan hutan yang berleluasa jika tidak dikawal akan menyebabkan kemusnahan alam seperti banjir, tanah runtuh dan lain-lain lagi. Manusia juga bertanggungjawab menghindarkan pencemaran alam seperti pencemaran bunyi, asap dan alam sekitar. Ini bertujuan untuk menjaga kesihatan tanggungjawab mereka sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Sebagai kesimpulan bagi tajuk ini, bahawa semua lapisan masyarakat mempunyai peranan dan tanggungjawab tertentu yang mesti ditunaikan untuk memperolehi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Setiap manusia yang lahir dan akan lahir di dunia ini, mereka sudah diletakkan tanggungjawab yang mesti ditunaikan, sama ada pengatur diri sendiri, ibu bapa, isteri, suami, anak, anggota masyarakat, pemimpin, guru dan sebagainya.

Kesan Iman Dalam Kehidupan
           
            Iman adalah suatu perkara yang realiti dan tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan manusia. Sebagaimana telah dibincangkan dalam pengertiannya, iman itu bukan angan-angan atau janji kosong namun ia membabitkan 3 perkara iaitu kepercayaan, pengakuan dan pengaplikasian. Oleh kerana pengertiannya begitu maka iman itu harus dijelmakan dalam semua bidang kahidupan manusia.Tanpa iman, seseorang itu boleh terjerumus kepada kufur, jahil, zalim, syirik, nifaq dan fasiq.

            Iman menuntut agar seseorang mukmin itu meyakini bahawa semua perkara yang telah ditetapkan oleh Allah melalui RasulNya dari segi perintah mahupun larangan wajiblah dipatuhi. Perkara yang diperintah oleh Allah hendaklah dilaksanakan dan perkara yang menjadi laranganNya hendaklah dijauhi.Pelanggaran terhadap perintah Allah adalah merupakan suatu keingkaran kepada iman itu.
           

1.4.1   Implikasi pengisian iman yang sempurna dalam diri dengan kehidupan keluarga, masyarakat, negara dan profesion


Manusia hidup dalam dunia ini dengan matlamat  tertentu serta mempunai cita-cita besar yang hendak dicapai. Setiap cita-cita mempunyai tribulasinya sendiri. Untuk menghadapi tribulasi ini maka kekuatan diperlukan sebagai sandaran yang boleh menolong dan memudahkan urusan. Kekuatan ini boleh ditemui melalui keimanan yang dinaungi Allah SWT. Sandaran ini berteraskan keyakinan seseorang mukmin bahawa jika Allah menolongnya tidak ada sesuatu atau sesiapa yang menewaskannya. Bertepatan dengan firman Allah SWT:

Maksudnya:  Jika Allah menolong kamu, tidak ada yang dapat mengalahkan kamu.(Ali Imran: 160)

Implikasi pengisian iman yang sempurna dalam diri dengan kehidupan berkeluarga

Allah menjadikan manusia untuk memakmurkan alam ini. Allah mencipta makhluk lain seperti bumi, matahari, bulan dan bintang agar memudahkan manusia meneruskan kehidupan mereka. Semua kejadian itu memudahkan manusia untuk mengekalkan keturunan mereka di muka bumi ini sehingga ke hari Kiamat. Untuk itu, manusia memerlukan satu peraturan untuk meneruskan zuriat mereka iaitu melalui ikatan perkahwinan. Allah telah memperuntukkan perkahwinan untuk mengatur kehidupan manusia serta menjalinkan ikatan persaudaraan berasaskan kasih sayang antara seorang lelaki dan perempuan  (Haron Din, 1988)

Melalui perkahwinan, manusia mendapat ketenangan perasaan dan ketenteraman jiwa. Ianya tidak wujud tanpa rumahtangga dan keluarga yang sihat. Ini dapat dilihat melalui firmanNya:

Maksudnya:
Dan di antara tanda-tanda yang memuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya Bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya.(Ar Rum: 21)

Melalui perkahwinan manusia akan hidup dalam mawaddah, musyawarah dan amanah. Lumrah pasangan akan mengasihi antara satu sama lain kerana mereka saling melengkapi.Setiap anggota pasangan mempunyai peranan dan tanggung jawab yang perlu dimainkan. Tanggung jawab itu merupakan amanah yang perlu dipikul dan akan disoal di akhirat kelak.

Sekiranya rumahtangga itu berhasil memperolehi anak, maka hendaklah dipastikan anak tersebut dididik dengan pendidikan Islam yang sempurna. Ketika itu, kedua ibubapanya hendaklah melaksanakan tugas sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab terhadap pembentukan iman dan akhlak anak sebagaimana yang digariskan oleh agama Islam.

Anak pula, mestilah melaksanakan tanggungjawab terhadap kedua ibubapa serta kaum keluarga yang lain. Adab-adab berkeluarga juga perlu dititikberatkan sebagaimana kehendak Islam. Kesemua kesedaran terhadap tanggungjawab itu adalah berdasarkan iman. Manifestasi iman itu akan melahirkan pemuda pemudi atau remaja yang kuat. Mereka berani mempertahankan keimanan mereka walaupun di celah arus globalisasi ini.

Institusi kekeluargaan menjadikan kehidupan manusia sentiasa berjemaah. Ketua keluarga bukan sahaja memimpin ahli keluarga, tetapi juga mengamalkan unsur syura dalam semua perkara membabitkan ahli keluarga. Dalam kehidupan berjemaah, suami, isteri dan anak akan solat, makan, beriadah dan melakukan aktiviti kekeluargaan secara bersama-sama tanpa mengenepikan ahli keluarga yang lain. Institusi keluarga yang diasaskan atas dasar iman ibarat yurga yang menyempurnakan kehidupan manusia, segala-galanya ada di dalamnya, penghuni berasa selamat dan dilindungi dan dipimpin oleh ketua keluarga yang bertanggungjawab serta sarat dengan kasih sayang

Implikasi pengisian iman yang sempurna dalam diri dengan kehidupan bermasyarakat

Kita semua tentu sepakat bahawa setiap manusia diciptakan sebagai makhluk individu. Namun ini bukan bermaksud setiap individu dapat hidup tanpa  memerlukan pertolongan individu lainnya. Secara kualitatif, setiap individu memiiki kelebihan dan kekurangan yang berbeza. Seseorang dikatakan mempunyai kelebihan jika memiliki kemampuan yang jarang dimiliki individu yang lain. Adapun seseorang dikatakan mempunyai kekurangan jika ia tidak memiliki sesuatu yang lazim oleh individu pada umumnya. Kerana itulah tolong menolong dalam kalangan  manusia merupakan keperluan.  Menurut pandangan Islam, hidup bermasyarakat bagi manusia adalah sunnatullah. Prinsip hidup bermasyarakat banyak diungkapkan  oleh al-qur'an, antaranya surah al-Anfal ayat 72, al-Hasyr ayat 9, ali Imran ayat 103, al-Hujurat ayat 10 dan al-Maidah ayat 2.

Dari sudut ilmu pengetahuan, manusia sebagai makhluk sosial sudah menjadi kesepakatan umum. Individu yang tidak berhubungan dengan individu lainnya adalah sesuatu yang tidak lengkap, dan jarang sekali ditemui dalam kenyataan hidup. Dari tinjauan psikologis, manusia memiliki dua dorongan hidup, yakni dorongan keakuan dan kekitaan. Kedua dorongan inilah yang menjadi dasar munculnya dua hakikat sifat manusia, iaitu sebagai makhluk individu sekaligus makhluk sosial.

Islam memandang bahwa bermasyarakat adalah suatu keharusan. Mustahil manusia dapat hidup terpencil seorang diri. Setiap manusia memiliki kelebihan dan kekurangan, sehingga sikap tolong menolong menjadi satu sifat yang diperlukan, bahkan setiap muslim diwajibkan untuk memikirkan keadaan masyarakat di sekitarnya. Meski disisi lain Islam mengakui hak individu bukan bererti seorang muslim boleh lepas tanggung jawab di dalam kehidupan bersama. Islam sangat menekankan pentingnya menghormati dan mencintai sesama. Rasulullah SAW bersabda :

"Tidaklah beriman seseorang diantara kalian hingga ia (dapat) mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri" (HR. Bukhari).

Selain hidup tolong menolong dan bermasyarakat, kecenderungan manusia lainnya adalah berorganisasi. Secara individu, setiap manusia tentu memiliki suatu cita-cita atau keinginan. Jika cita-cita tersebut begitu besar maka seseorang akan memerlukan pertolongan orang lain.. Pencapaian tujuan yang melibatkan ramai orang itulah yang kemudian memerlukan satu sistem yang disebut organisasi.

Allah telah menjadikan manusia secara semulajadinya suka bermasyarakat. Setiap individu saling memerlukan dan saling menolong untuk membina hidup yang lebih bermakna untuk kepentingan umum. Tanpa kerjasama, maka pembentukan sesebuah negara yang makmur dan aman tidak akan menjadi kenyataan. Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah melalui firmanNya:
   
Maksudnya:
”Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu adalah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi amat mendalam pengetahuannya”   (al-Hujurat:13)

Hidup bermasyarakat menuntut seseorang mukmin itu selaku khalifah Allah di muka bumi untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (amar ma’ruf dan nahi mungkar) Suasana ini dapat meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab bersama dalam masyarakat tentang pentingnya menjaga kesejahteraan masyarakat. Kesejahteraan masyarakat  melibatkan semua bidang kehidupan yang dilalui oleh anggota masyarakat tersebut. Ini termasuklah bidang kejiranan, perniagaan, menegakkan hukum Allah, menunaikan kewajiban harta benda, memelihara amanah serta hidup tolong menolong.

Implikasi pengisian iman yang sempurna dalam diri dengan kehidupan bernegara

Konsep bernegara merujuk kepada tiga perkara utama iaitu kuasa, rakyat dan wilayah. Negara Islam pula bermaksud negara yang diperintah dan didiami oleh umat Islam yang melaksanakan syariat Islam.  Kepentingan bernegara ini adalah bertujuan untuk melaksanakan syariat Islam, menjamin keadilan dan kebajikan rakyat. Di samping itu konsep bernegara adalah untuk melindungi rakyat daripada ancaman musuh dan dapat mengatur kehidupa rakyat menjalani lunas-lunas perundangan. Ini akan mewujudkan keharmonian dan keamanan.
           
Kita digalakkan mencintai negara kerana ia adalah tempat kelahiran dan tempat meneruskan kehidupan kita. Negara juga telah menyediakan pelbagai kemudahan dan keselesaan untuk rakyat. Negara juga adalah tempat untuk mencari rezeki bagi meneruskan kesinambungan hidup. Dengan adanya sistem perundagan,kita telah dijamin perlindungan terhadap diri dan harta benda.
           
Sebagai warganegara yang mempunyai keimanan berteraskan tauhid, kita mesti menjaga imej negara dan memberi sumbangan bakti kepada negara berdasarkan kemampuan. Semangat patriotisme hendaklah sentiasa disemai dalam jiwa dan sanggup berjuang mempertahankan negara daripada sebarang ancaman dan pencerobohan musuh yang sentiasa mengintai-intai kemakmuran negara. Rasa cinta terhadap negara hendaklah sentiasa dibugarkan kerana ia akan melahirkan sifat bangga menjadi rakyat Malaysia dan sentiasa berusaha menangkis sebarang tohmahan terhadap negara.  Hasil rasa cinta individu terhadap negara akan membentuk rakyat yang sentiasa berdikari dan tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata. Ini akan membangunkan masyarakat menjadi bertamadun dan melahirkan masyarakat yang bersatu dan harmoni.
           
Jika rakyat tidak dipupuk dengan rasa cinta kepada negara akan mengakibatkan keruntuhan tiga aspek utama iaitu politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik, negara akan mudah dikuasai musuh, nama baik dan imej negara akan terjejas di mata dunia. Ini akan menyebabkan kestabilan negara akan goyah seterusnya pandangan pemimpin negara tidak dipedulikan oleh masyarakat antarabangsa. Dari aspek ekonomi, pertumbuhan ekonomi akan terjejas dan pelabur asing tidak akan melabor di negara kita. Akibatnya, sektor pekerjaan menjadi terhad dan pelancong juga takut untuk berada di negara kita.

            Dari aspek sosial, penyediaan infrastruktur akan tergendala yang menyebabkan kadar pengangguran dan kemiskinan akan meningkat. Kadar jenayah juga adalah kesan langsung dari aspek ini. Jika berlakunya keadaan sedemikan, taraf pendidikan akan menjadi lemah dan rakyat sentiasa bergantung kepada kerajaan tanpa berusaha sendiri.  

 Implikasi pengisian iman yang sempurna dalam diri dengan kehidupan berprofesion

Setiap perbuatan yang dilakukan oleh seorang Muslim akan dianggap ibadah jika mematuhi garis panduan yang dikehendaki oleh syarak. Profesion atau kerja bermaksud kesungguhan yang dilaksanakan oleh seseorang bagi medapatkan upah atau ganjaran. Ia juga membawa maksud tugas atau tanggungjawab untuk meraih pendapatan dan keredhaan Allah. Mengapakah seseorang itu perlu mempunyai profesion? Ia adalah merupakan tuntutan dalam Islam, untuk mendapatkan rezeki kurniaan Allah serta sebagai mekanisme untuk memakmurkan muka bumi Allah ini.

 Tuntutan mempunyai profesion ini dinyatakan dalam al Quran surah at Taubah: 105
  
Maksudnya:
Katakanlah wahai Muhammad: beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan) maka Allah dan RasulNya serta yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara yang kamu kerjakan.


Ayat berkaitan profesion juga dapat dirujuk melalui surah alJumuah : 10

Maksudnya:

Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranah kamu di muka bumi ini (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah limpah kurniaan Allah serta ingatlah Allah sebanyak-banyaknya (dalam setiap keadaan) supaya kamu berjaya

Setiap profesion atau kerja dikategori sebagai ibadah apabila menepati beberapa garis panduan iaitu:

a)    Apabila bekerja untuk keperluan diri. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Jika seseorang di antara kamu pada tengahari mengambil kayu di belakangnya, sehingga dia dapat bersedekah darinya dan mencegah daripada meminta-minta maka yang demikian adalah lebih baik baginya dari meminta-minta kepada orang lain samada diberi atau tidak kerana tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah, mulailah daripada yang terdekat”.

b)    Bekerja untuk keperluan keluarga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah sangat cintakan kepada orang mukmin yang bekerja”

c)    Bekerja untuk keperluan masyarakat. Tidak semua manusia mempunyai kepakaran dalam semua bidang. Untuk itu kemahiran individu dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat yang diklasifikasikan sebagai tuntutan fardhu kifayah sebagaimana Firman Allah yang bermaksud “ Bertanyalah pada orang yang lebih tahu jika kamu tidak mengetahui.

d)    Bekerja untuk memakmurkan bumi Allah. Pekerjaan yang kita lakukan mempunyai hubung kait yang rapat dengan unsur kehidupan manusia di dunia selain memelihara segala nikmat Allah yang dikurniakan di muka bumi ini.

Pekerjaan itu dianggap ibadah apabila ia adalah  perbuatan yang harus atau boleh dikerjakan menurut syarak. Pekerjaan itu juga disertakan dengan niat dan diredhai Allah,  dilaksanakan dengan tekun, cekap dan bersungguh-sungguh serta berasaskan prinsip syariah seperti amanah, adil dan bertanggungjawab dan menghasilkan kerja yang berkualiti.

Impak yang boleh didapati hasil dari pekerjaan yang diiktiraf sebagai ibadah akan mendapatkantiga  balasan iaitu dalam bentuk material, kepuasan bekerja serta mendapat pahala di akhirat nanti. Di samping itu, individu itu aan mempunyai motivasi kuat untuk belerja, menjadi seorang yang proaktif, berdisiplin dan boleh dipercayai. Ia juga menjadikan diri individu yang sentiasa berwaspada untuk mengelakkan diri dari sebarang kemungkaran termasuk perbuatan yang tidak bermoral. Hasilnya akan menjadikan dirinya seorang pekerja berprestasi tinggi. 

Beberapa syarat diperlukan untuk menjadikan pekerjaan itu satu ibadah iaitu:

a)    Niat yang ikhlas kerana Allah. Ia akan mengangkat manusia kepada kemuncak ketinggian dan kemuliaan insan. Ikhlas juga akan menhasilkan kemenangan dan kejayaan, membawa kedamaian dan esejahteraan serta terhindar dari sifat riak demi mengharap keredhaan Allah.

b)    Benar (sidq): ia akan menjamin dalam mengembalikan hak-hak kepada yang berhak, memperkukuh ikatan antara masyarakat tidak kira alim, pemimpin, hakim, saudagar, lelaki atau perempuan kanak-kanak atau dewasa. Menurut Imam Ghazali terdapat beberapa jenis sifat benar (sidq)  iaitu benar pada lidah (lisan), benar ada niat, benar pada azam dan benar pada janji. Dalam hal ini, seorang pekerja itu mesti mempunyai niat yang baik dan jujur dalam melakukan sesuatu pekerjaan tanpa niat yang tersembunyi ataupun mengharapkan balasan, rela berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakaran untuk kejayaan bersama.

c)    Amanah: orang yang amanah akan mendapat kepercayaan orang ramai sebaliknya orang khianat menjadi tumpuan kemarahan dan kehinaa. Ia merupakan asas kepada ketahanan umat, kestabilan negara dan roh kepada keadilan. Antara amalan amanah ialah sifat bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan, menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dan menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan dan tidak menggunakan masa pejabat untuk urusan peribadi.

d)    Bijaksana- iaitu bijaksana dalam melaksanakan sesuatu kerja dengan menghindari perkara-perkara yang boleh mendatangkan ketidakpuasan, mengagihkan kerja mengikut keupayaan seseorang, menyampaikan arahan seta memelihara keaiban sesama muslim. Bijaksana juga boleh dikaitkan dengan kebijaksanaan membuat keputusan dan tindakan sesuai dengan masa serta keadaan, menggunakan segala potensi, keupayaan dan kepakaran untuk menjayakan  sesuatu tugas dengan cemerlang dan tidak mengambil jalan mudah. Seorang pekerja juga hendaklah sentiasa mempertingkatkan ilmu, kepakaran dan profesionalisme mereka.

e)    Syukur: perasaan dan perlakuan yang menghargai nikmat dan pemberian yang diterima antaranya sentiasa menghargai anugerah dan nikmat yang diterima tanpa menganggap kejayaan sebagai hak, bersedia memberikan pengiktirafan kepada mereka yang berjaya tanpa sebarang prasangka, berdendam atau menabur fitnah, tenang menghadapai masaah dan redha menerima ketetapan, kegagalan dan ujian serta tidak berputus asa.

f)     Dedikasi: berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga secara berterusan dalam menghasilkan kerja yang berkualiti seperti bekerja tanpa rasa jemu dan bosan serta bersedia menerima tugas tanpa helah. Seorang yang dedikasi bersikap positif dalam melaksanakan tugas dan memastikan hasil kerja sentiasa berkuakiti, menjalankan tugas dengan sabar, teliti dan ceria, tidak cuai atau merungut.

g)    Ikhlas: berhati suci dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menghasilkan kerja yang terbaik tanpa mengharapkan ganjaran. Ini bermaksud menerima tanggungjawab dengan rela dan hati yang suci, tidak berpura-pura atau mengelak daripada tanggungjawab, menjalankan tugas semata-mata untuk mencapai matlamat organisasi, bukan kerana pangkat, kedudukan atau mendapat perhatian orang lain.

h)   Penyayang: perasaan dan perlakuan yang menunjukkan sikap memahami, menghargai dan mengambil berat seperti bersifat pemaaf dna penyayang, tidak berdendam, sombong dan suka meninggi diri. Menganggap setiap orang mempunyai harga diri yang perlu dihormati tanpa sebarang prasangka buruk.

Tuntasnya, sebagai hamba Allah, amat penting untuk kita menyedari dan memastikan bahawa segala pekerjaan yang dilakukan tidak lain dan tidak bukan hanya semata-mata kerana Allah. Tidak terlintas di hati untuk mengharapkan pujian, pangkat dan harta tetapi apabila dikurniakan oleh Allah akan dianggap sebagai kurniaan Allah yang menghargai hambaNya yang ikhlas.

Aplikasi Konsep Iman Dan Taqwa Dalam Kehidupan Seharian

Iman dan takwa sangat diperlukan selaku wahana untuk mendapatkan bimbingan ke arah membuka jalan kebenaran melalui hidayah dan taufik Allah. Mengikut panduan agama, peranan  keimanan dan ketakwaan kepada Allah dapat difahami dapat difahami dan dihayati dalam dua dimensi yang penting iaitu:

1)    Iman dan takwa sebagai penggerak membuka minda untuk mencari jalan yang terbaik dalam melaksanakan tugas khalifah umat manusia bagi tujuan memakmur dan membangunkan dunia ini menjadi suatu destinasi yang selesa dan menyenangkan untu berbakti dan mencari keredhaan Allah. Di samping itu, iman dan takwa juga dapat memberikan motivasi dan rangsangan yang kuat terhadap pembentukan peribadi dan jati diri manusia yang unggul. Kekuatan ini bersesuaian dengan fitrah dan nalurisemula jadi manusia yang amat dahagakan pengetahuan pengetahuan dan kepercayaan terhadap Pencipta dan kuasa agung yang telah menjadikan alam ini dan membawamanusia ke alam kehidupan ini.

2)    Sebagai pemeihara dan penapis iman dan takwa memberi kekebalan dan kelalian kepada umat manusia supaya tidak mudah tergoda dan terpengaruh kepada perkara-perkara negatif yang boleh menghalang pelaksanaan tugas khalifah di muka bumi kerana kehidupan yang penuh dengan cabaran  seperti hari ini, perlu dihadapi dengan persiapan mental, emosi dan ketrampilan diri yang sepatutnya. Iman dan takwa juga memberi kekuatan dalaman kepada manusia untuk terus berjuang dalam kehidupan ini tanpa mudah pasrah dan bergantung kepada kemampuan orang lain. Justeru, dorongan untuk bersaing dan berlumba dalam meraih kemajuan adalah termasuk sebahagian daripada iman iman yang tersemai dalam diri. 

Dengan menghayati dua dimensi yang terkandung dalam prinsip keimanan dan ketakwaan ini, jelas memberi kebebasan kepada umat manusia untuk menjalankan aktiviti pembangunan yang akan membawa kepada kemajuan yang berasas kepada keadilan dan kesejahteraan semua warga masyarakat yang dinaungi oleh rahmat Allah SWT yang dikenali dalam Islam sebagai konsep negara yang maju, makmur dan mendapat keampunan Allah.
 
Terdapat empat perkara penting yang dihasilkan oleh prinsip keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT jika dihayati secara benar iaitu :

1)    Menjadikan manusia  bebas tidak dikongkong oleh kuasa lain selain daripada Allah Yang Maha Esa. Aka fikirannya pula terbuka luas, bebas daripada belenggu khayalan dan khurafat. Hatinya berasa lapang tidak terikat dengan rasa rendah diri dan kehinaan termasuk emosinya akan terkawal kerana ia berasa berserah diri kepada Allah setelah melaksanakan segala usaha dan upaya yang ada.

2)     Membentuk sahsiah seimbang yang tercermin dari tingkahlaku dan cara berfikir. Hasrat kehidupannya menuntut keredhaan Allah SWT terserlah ke arah kebaikan dunia dan akhirat. Manhaj kehidupannya diasaskan kepada cinta kasih dan hormat-menghormati kepada sesama manusia dan alam sekitarnya.

3)     Melahirkan rasa ketenangan dalam hidupnya. Menutup pintu rasa takut dan khuatir, sama ada pada diri dan keluarganya, begitu juga terhadap rezeki dan kematian. Ini adalah kerana ia bergantung sepenuhnya kepada rahmat dan hidayah Allah. Aktiviti hidupnya dijalankan dengan penuh keikhlasan dan pengharapan akan redha Tuhannya kerana semua amal kerja yang dilakukan telah diniatkan sebagai sebahagian daripada tugas ibadah dan khalifah di muka bumi.

4)    membangunkan potensi diri dan kekuatan jiwa yang dibina di atas usaha dan yakin kepada Allah s.w.t.  Dengan demikian ia menikmati kehidupannya dengan penuh kepuasan kepada Tuhannya.  Rasa optimis dengan bimbingan Tuhannya sentiasa membangkitkan semangat untuk beramal, beribadah sesuai dengan fungsi dan peranannya hidup di dunia ini.

Daripada huraian ringkas di atas, ia menunjukkan bahawa penghayatan nilai keimanan dan ketakwaan akan memberi makna hidup yang sebenar kepada setiap manusia yang memilikinya dan seterusnya membangunkan umat yang bermoral dan berakhlak mulia, membangunkan tamadun yang kukuh dan bernilai. Penghayatan nilai keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t akan memberi kekuatan kerohanian dan moral kepada masyarakat.  Ia boleh menjadi penunjuk dalam merealisasikan risalah hidup mereka di dunia ini, untuk mengambil bahagian dalam membangunkan tamadun dunia mengikut kepakaran dan kemahiran masing-masing. Allah s.w.t menjanjikan bahawa menghayati nilai keimanan dan ketakwaan akan memberi kemudahan mendapat rahmat yang berlipat ganda dan memperolehi petunjuk dalam kehidupan dunia serta akan menerima ganjaran kelak di kemudian hari. Firman Allah dalam surah al-Hadid: 28

Maksudnya:
 “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah s.w.t dan berimanlah kepada RasulNya, pasti (Allah) memberikan dua kali ganda daripada rahmatNYA dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu pakai berjalan (hidup di atas bumi) dan Dia akan mengampuni kamu.  Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”


              

No comments:

Post a Comment